Kenapa Penyiasatan Geofizik Penting?

. .
Geofizik merupakan satu cabang ilmu berkaitan sifat-sifat fizik Bumi dan unsur-unsurnya. Penjelajahan struktur dan dinamik Bumi perlu menggunakan kaedah geofizik yang sesuai bergantung kepada sesuatu objektif penjelajahan.

Secara umum, kaedah geofizik merupakan satu kaedah yang berkos efektif dan tidak memusnah. Umum mengetahui bahawa maklumat subpermukaan bumi boleh diketahui dengan tepat melalui maklumat lubang gerudi. Namun begitu, berikutan maklumat lubang gerudi lebih terarah kepada maklumat secara setempat, ia tidak menggambarkan maklumat secara rantau.

Oleh kerana kos pengerudian yang tinggi, kaedah geofizik menjadi sandaran yang lebih baik dalam menyokong maklumat subpermukaan bumi. Hal ini kerana kaedah geofizik mampu meliputi kawasan yang luas untuk dijelajah. Kombinasi kedua-dua maklumat ini boleh memberi hasil yang sangat optimum.

Penyiasatan geofizik boleh diaplikasi dalam beberapa situasi kejuruteraan dan persekitaran. Antaranya ialah penjelajahan hidrokarbon, penyiasatan tapak kejuruteraan, pencemaran sisa, tinggalan arkeologi, air bawah tanah, penyiasatan rongga, sistem paip, kabel, dan laluan lombong bawah tanah juga dapat dikenal pasti menggunakan kaedah geofizik.

Selain membantu dalam penyiasatan awal aspek kejuruteraan, geofizik turut menyumbang dalam penyelesaian masalah sekitaran yang melibatkan pencemaran dengan memberi gambaran dan luas kawasan yang tercemar. Selain itu, ia mampu mengesan bahan tercemar dan sumbernya tanpa perlu teknik penggerudian. Seterusnya, pihak bertanggungjawab boleh mengambil tindakan susulan bagi merawat kawasan tercemar dan membendung pencemaran merebak ke kawasan yang lebih luas.

kaedah geofizik untuk masyarakat


Kebanyakan kaedah geofizik yang biasa digunakan dalam penjelajahan turut berpotensi untuk digunakan dalam penyiasatan geosekitaran. Secara umum, kaedah geofizik menjadi amat penting dalam aspek pembangunan dan persekitaran. Tidak dapat dinafikan ia menjadi satu teknik yang sangat diperlukan seiring dengan kemajuan teknologi dan pembangunan yang pesat membangun demi mencapai keseimbangan persekitaran yang mapan.

0 comments:

Post a Comment